Wednesday, 20 April 2022

ZIARAH KUBUR HARI RAYA AIDILFITRI

  
Menziarahi kubur pada Aidilfitri akan melahirkan perasaan sedih dan hiba mengenangkan orang tersayang yang telah meninggalkan kita. Mengapakah pilih untuk bersedih pada Aidilfitri? 
 
Sepatutnya Aidilfitri adalah untuk bergembira dan membina semangat untuk terus menjadi muslim sejati setelah berjaya melaksanakan ibadat puasa.  Aidilfitri adalah hari kejayaan membentuk dan memperkasakan takwa. 
 
Selain itu, pada hari raya juga sepatutnya diutamakan mengunjungi mereka yang masih hidup. Amalan itu amat dituntut dalam agama di mana Rasulullah SAW ketika pergi dan balik menunaikan solat sunat Aidilfitri akan menggunakan laluan berbeza bagi memberi peluang bertemu dengan seramai mungkin umat Islam. 
 
Dalam hadis Jabir berkata: “Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari). 
 
Kawasan perkuburan bukan tempat membaca al-Quran atau beribadat. Bagi kaum keluarga, khususnya anak arwah yang ingin mensedekah pahala dan berdoa, ia boleh dilakukan di mana-mana saja dan bila-bila masa saja. 
 
Anak soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya yang masih hidup maupun telah meninggal dunia. Tidak ada hari dan tempat dikhususkan untuk berdoa kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. 
 
Tambahan pula apa yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarah kubur hanyalah mendoakan kesejahteraan 'penghuni' kawasan perkuburan itu dan bukannya membaca Yasin. 
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya-Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian." (Hadis riwayat Muslim). 
 
Sesungguhnya kubur dan rumah mempunyai perbezaan yang ketara antara keduanya biarpun kedua-duanya ada penghuni. Sebab itu Rasulullah SAW menegaskan agar rumah tidak dijadikan seperti kubur. 
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." (Hadis riwayat Muslim) 
 
Jelas kali, Rasulullah SAW menggalakkan kita melakukan ibadat seperti membaca al-Quran dan solat di rumah. Ia lebih selesa dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Ironinya, kawasan kubur pula tidak bolehlah disamakan dengan rumah untuk dijadikan tempat beribadat. 
 
Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan dan janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan." (Hadis riwayat Abu Daud). 
 
Dari Abi Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah: "Janganlah jadikan kuburku sebagai tempat berhari raya” (Hadis riwayat Ahmad 2/367) 
 
Maka tidak sepatutnya mengkhususkan Aidilfitri sebagai hari berkumpulnya manusia di kawasan perkuburan kerana ia menggambarkan seolah-olah kuburan dijadikan kawasan perayaan.  
 
Raikan Syawal dengan amalan kunjung mengunjung sesama manusia yang masih hidup. Jika ingin melawat kubur, lebih baik ia dilakukan pada waktu lain yang lebih sesuai dan tidak menjadikan ia sebagai satu ritual yang ditakuti akan dilihat oleh pihak lain seperti meniru ajaran agama mereka.  
 
Memang telah wujud tanggapan penganut agama lain berdasarkan pemerhatian mereka, mengatakan salah satu acara sambutan Aidilfitri ialah menziarah kubur dan ternyata perbuatan itu menyamai dengan apa yang mereka lakukan. 
 
Perbezannya hanya dari segi amalan di kubur yang mana orang Islam membaca Yasin, sedangkan orang bukan Islam membaca mentera dan perbuatan untuk 'berhubung' dengan si mati.   
 
Seharusnya orang Islam perlu lebih memahami setiap amalan yang berkaitan dengan agama dan bukannya sekadar meniru tanpa memahami apa yang dilakukan. 

No comments:

Post a Comment