Begitu bimbang takut tersalah menggunakan duit rakyat, Umar
Abdul Aziz menyediakan dua pelita berbeza di pejabatnya. Satu untuk urusan
rakyat, satu untuk urusan peribadi atau keluarganya.
Qayyim meriwayatkan: "Muslim berkata: Aku masuk menemui
Umar ibn Abd al-Azīz, dan bersamanya ada seorang penulis yang sedang menulis,
serta sebuah pelita yang menyala, sementara beliau sedang meneliti urusan umat
Islam. Setelah penulis itu keluar, pelita tersebut dipadamkan, dan dibawakan
pelita lain kepada Umar. Aku mendekatinya dan melihat beliau memakai baju yang
bertampal di antara kedua bahunya. Kemudian beliau meneliti urusanku."
Kisah ini menunjukkan betapa amanah dan telusnya Umar dalam
membezakan antara urusan peribadi dan urusan umat Islam.
Apa yang dilakukan oleh Umar itu amat mulia sifatnya.
Menjaga amanah agar tidak tersalah guna harta rakyat untuk kepentingan diri
sendiri.
Namun, bukan bermakna apabila pemimpin tidak melakukan
seperti Umar, maka pemimpin itu dianggap sebagai tidak amanah. Setiap pemimpin
ada tahap kezuhudan yang berbeza. Begitu juga gaya pemerintahan tidak sama di
antara pemimpin.
Sesuatu yang secara nyata telah disediakan untuk kemudahan
dan kegunaan pemimpin, maka itu adalah kegunaan hal-hal berkaitan pemerintahan.
Jika ada ahli keluarga dan kawan datang ke pejabat atas alasan peribadi, tidak
perlulah seluruh bekalan elektrik dan penghawa dingin serta semua kemudahan
yang ada tidak boleh digunakan.
Kalau tidak ada orang datang, sememangnya di pejabat itu
sudah ada lampu dibuka, begitu juga penghawa dingin tetap ada. Peralatan
pejabat juga tersedia ada di situ.
Sungguhpun Umar telah meletak tanda aras yang tinggi dalam
pemerintahan empayar Islam, namun tindakan-tindakan beliau bukan dalil
mewajibkan pemimpin Islam lain mengikutinya.
Sebenarnya, soal amanah dan menjaga harta kerajaan ini bukan
hanya perlu dilakukan pemerintah sahaja. Sesiapa sahaja yang bertugas sebagai
pejawat awam perlu menjaga amanah berkaitan penjagaan harga kerajaan.
Segala kemudahan yang ada hanya perlu digunakan untuk tujuan
memberi khidmat kepada rakyat atau sesuatu keperluan yang berkaitan dengan
tugas.
No comments:
Post a Comment