Kereta api unit gandaan elektrik (EMU - electric multiple
unit) KTM Komuter mula beroperasi pada 14 Ogos 1995, menjadikan ia sistem rel
elektrik pertama di Malaysia. Kereta api ini dikenali dengan nama Kelas 81,
Kelas 82 dan Kelas 83 mengikut syarikat pengeluar.
KTM Komuter dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu
Berhad (KTMB) merupakan satu sistem pengangkutan awam yang memulakan
perkhidmatannya pada 14 Ogos 1995 bertujuan memberi khidmat memuaskan dan
mengatasi kesesakan lalu lintas di Lembah Kelang. Perkhidmatan ini kemudian
diperluaskan di sektor utara.
Pada permulaan projek kereta api komuter ia berhadapan
dengan beberapa halangan disebabkan masalah penyediaan infrastruktur. Berbeza
dengan perkhidmatan kereta api yang sedia ada, kereta api komuter menggunakan
kuasa elektrik sepenuhnya dan ini memerlukan kepakaran khusus yang perlu dibawa
masuk daripada luar negeri, terutamanya India.
Keretapi Tanah Melayu Berhad melaksanakan projek komuter
bermula dengan hanya empat tren. Jumlah tren itu kemudiannya ditambah secara
beransur-ansur sehinggakan pada 2006, KTMB mempunyai 62 tren setiap satu
membawa tiga gerabak yang dibekalkan tiga negara iaitu Korea Selatan,
Austria dan Afrika Selatan.
KTM Komuter dikategorikan sebagai Kelas 8x iaitu Kelas 81,
Kelas 82 dan Kelas 83. Kelas 81 adalah buatan Jenbacher Transport System,
Austria. Terdapat sebanyak 18 buah komuter Kelas 81 yang ditandakan dengan nama
EMU 1 sehingga EMU18.
Komuter Kelas 82 dihasilkan oleh Union Carriage Wagon dari
Afrika Selatan. Sebanyak 22 buah dibeli dari syarikat ini dan ditandakan dengan
nama EMU 41 sehingga EMU 62.
Manakala Kelas 83 pula yang ditandakan dengan nama EMU19
sehingga EMU 40, sebanyak 20 buah adalah keluaran Hyundai Corporation dari Korea
Selatan.
No comments:
Post a Comment