Peraturan hidup berjiran perlu
dipatuhi agar dapat mengelak berlaku selisih faham, perpecahan, perbuatan
memulau dan melakukan amalan memutuskan silaturahim.
Dalam menjamin perpaduan dan
kerukunan hidup berjiran, maka perlu ada peraturan atau adab-adab kejiranan
yang diamalkan secara berterusan. Adab kejiranan perlu dipatuhi sebagai rukun
untuk mengelak perkara tidak diingini berkaitan hubungan sesama jiran.
Hubungan kejiranan kekal
harmoni jika setiap jiran mempunyai matlamat hidup yang sama, yakni ingin
kepada perpaduan dan kesejahteraan. Mereka ingin menjadikan lingkungan
kejiranan sebagai tempat tinggal paling selesa. Hak jiran dijaga sepertimana
dia menjaga haknya sendiri.
Justeru, urusan berkaitan
kejiranan perlu dijaga dengan baik. Banyak kes kejiranan tidak dapat
diselesaikan disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah. Mereka menganggap
perkara itu bersifat peribadi yang mana menjadi haknya melakukan apa yang
diingini.
Ungkapan ‘perduli apa dengan
orang lain’ biasa diucapkan oleh mereka yang mementingkan diri sendiri.
Jiran yang mencari kebaikan
sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tuntutan hidup berjiran, biarpun
terpaksa mengorbankan keinginan diri sendiri. Setiap tindakan yang dilakukan
difikirkan apakah kesannya terhadap jiran-jiran.
Bagi memastikan hubungan
kejiranan berlainan agama berjalan baik, setiap jiran perlu memahami dan
mengetahui sedikit sebanyak mengenai jirannya berkaitan cara hidup, agama,
budaya dan pantang larang mereka.
Dalam hubungan kejiranan memang
tidak dapat mengelak daripada berlaku selisih faham. Hakikat ini tidak dapat
ditolak. Tidak dinafikan ketika timbul sesuatu keadaan tidak puas hati dan
perasaan marah meluap-luap, ‘permusuhan’ boleh berlaku.
Dalam sebarang pertelingkahan
dan perbalahan, manusia selalu condong kepada memperbesar-besarkan cacat cela
dan kesalahan orang lain. Mereka meletakkan diri sendiri sebagai seorang yang
selalu bersih, baik, tidak salah dan jujur.
Untuk menangani masalah itu,
kita mesti tenang dan muhasabah diri. Fikirkan apakah punca sebenar perkara
tersebut berlaku dan cari jalan penyelasaian.
Untuk membentuk hubungan
kejiranan yang kukuh adalah perlu setiap individu mengamalkan sifat mulia
seperti ikhlas, jujur, amanah dan saling menghormati. Sebaliknya, sikap buruk
seperti iri hati, mengumpat, dengki, fitnah dan buruk sangka mesti dijauhkan.
Pakar jiwa ada mengatakan
kecenderungan melakukan perkara buruk berpunca sikap angkuh dan tidak peduli
kesan perbuatan yang dilakukan. Mereka tidak segan silu melakukan kritikan dan
serangan yang menyentuh kehormatan, maruah dan cacat cela yang semula jadi
seseorang.
Seorang jiran yang baik akan
mengelak diri daripada melakukan kritikan tidak berasas dan bersikap angkuh
kerana dia akan sentiasa mencermin diri serta melihat cacat cela muka dan diri
sendiri. Sikap itu dengan sendiri akan menyedarkan diri bahawa tidak ada gading
yang tidak retak.
Pun begitu, dalam keadaan sedar
dan ikhlas untuk menghalang berlakunya sesuatu keburukan, maka amalan tegur
menegur dan melakukan kritikan yang tidak melanggar prinsip amalan berjiran
hendaklah dilakukan dengan berhemah.
Kehidupan kejiranan yang
harmoni menjadi aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan
selamat.
No comments:
Post a Comment