Friday, 11 June 2021

KENAPA PARA NABI MELAKUKAN HIJRAH

 
Sejarah para nabi menyebut tentang kisah penghijrahan. Tiga sebab nabi melakukan hijrah iaitu untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT, bagi mempertahankan keimanan pengikut daripada diganggu dan membuka penempatan baru untuk kebaikan semua.

Nabi Ibrahim berhijrah ke tempat lain menyebarkan agama tauhid. Baginda terpaksa meninggalkan tanah kelahirannya kerana enggan tunduk kepada Raja Namrud yang menolak agama tauhid. 
Nabi Ibrahim juga berhijrah membawa isterinya Siti Hajar bersama puteranya Nabi Ismail dari Kanan menuju ke sebuah lembah kering kontang untuk membuka penempatan baru, iaitu Makkah. 

Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir menuju ke Syam bersama pengikut setia bagi mengelak kekejaman dilakukan Firaun yang mengaku dirinya tuhan serta bertindak angkuh melakukan apa saja disukai.

Memandangkan Nabi Musa sentiasa menyampaikan dakwah dan semakin banyak pengikut, Firaun rasa tercabar dan berusaha menghapuskan Nabi Musa. Untuk mengelak tindakan keras Firaun, Nabi Musa terpaksa berhijrah meninggalkan tanah airnya.

Nabi Nuh pula berhijrah menaiki kapal ketika banjir besar. Perintah itu datangnya daripada Allah SWT bertujuan menyelamatkan sejumlah pengikut setia daripada terus diejek dan diganggu penduduk yang menolak seruan tauhid.

Penghijrahan nabi meninggalkan sesuatu tempat menuju tempat lain bukan bermakna mengaku kalah atau meninggalkan amanah menyebarkan agama tauhid. Hijrah satu strategi mendapat kekuatan dan keselamatan.

Sejarah penghijrahan Nabi Mahammad meninggalkan Makkah menuju Madinah adalah titik kejayaan umat Islam. Islam berkembang dengan cepat ketika Rasulullah menyebarnya di Madinah selama 10 tahun berbanding 13 tahun ketika berada di Makkah.

No comments:

Post a Comment