Friday 21 July 2023

PERANAN UMNO PERTAHANKAN MELAYU ISLAM

 
Sebagai sebuah parti yang keseluruhannya orang Melayu, dan beragama Islam, sepatutnya UMNO ambil peluang dengan kehadiran barisan ulama di dalam partinya merangka semula falsafah perjuangannya dengan mengadun semula nasionalisme Melayu dan Islam. Dua elemen ini merupakan benteng kebal kerana sejak zaman Melaka lagi Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islam.
 
Perjuangan asal, demi agama, bangsa dan negara mesti diangkat semula bukannya terpengaruh dengan paradigma palsu yang dibawa masuk oleh propaganda luaran ke dalam UMNO.
 
UMNO perlu terus berada pada falsafah politik berlandaskan politik Islam atau peradaban Islam dan meluaskan kerangkanya dalam bingkai politik beradab dengan tidak meninggalkan adat dan resam kemelayuan.
 
Rangkuman etika dan budi pekerti yang tinggi perlu diterjemahkan dalam setiap perilaku politik sehingga ia membentuk nilai-nilai yang boleh diterima secara sejagat oleh orang Melayu.
 
Kaum bukan Melayu disuntik dengan jiwa luhur apabila diberi penerangan agar menghormati adat dan budaya orang Melayu sebagai warga asal serta menghormati ‘ketuanan kepada Malaysia’ atau ‘Ketuanan kepada Tanah Orang Melayu’. 

Maka kerana itu, UMNO harus dilihat sebagai pejuang Melayu-Islam dengan peradaban tamadunnya yang telah wujud sejak zaman Mesopotamia lagi.
 
Oleh itu, kembali kepada konsep ‘ketuanan Melayu’ ia mestilah difahami sebagai budaya politik yang sihat dan bukannya berupa hubungan ‘tuan dan hamba’. Perlu diperbetulkan propaganda yang dilaungkan oleh kaum kiasu yang mewarwarkan bahawa ‘ketuanan Melayu’ itu bermaksud kaum lain yang bukan Melayu itu adalah hamba. Ini dijelaskan dengan maksud kehidupan lestari dan saling berusaha hidup secara harmoni antara kaum lain dengan orang Melayu.
 
Belum pernah berlaku dalam sejarah hubungan kaum di Malaysia, orang Melayu membenci bukan Melayu sebagaimana bencinya bukan Melayu kepada orang Melayu sehingga wujud kumpulan kiasu cauvinis sejak zaman lombong lagi.
 
Realitinya melalui pengalaman sejarah apabila persekitaran didominasi oleh bukan Melayu, orang Melayu memang sukar hidup tenang dan harmoni akibat terlalu melihat kepada perbezaan. Negeri Perak yang suatu ketika dahulu paling ramai didiami oleh pendatang pernah berlaku pergaduhan kaum hingga berbunuhan.
 
UMNO perlu menterjemahkan halangan budaya tidak sihat ini jika ingin meraih semula sokongan bukan Melayu sebagaimana berlaku pada awal pembentukan Perikatan dan penerimaan mereka dalam Barisan Nasional (BN). 
 
Dalam usaha memulihkan semula semangat orang-orang UMNO, UMNO sewajarnya memasukkan lebih ramai tokoh agama atau ulama tapi bukan jenis yang ‘cakap tak serupa bikin’ tapi ulama yang cakap serupa bikin untuk mengimbangikan kedudukan profesional bagi memantapkan perjuangan dan pembentukan dasar parti.
 
UMNO perlu meluruskan persepsi yang mengatakan UMNO meminggirkan peranan ulama dalam menentukan hala tuju dan dasar parti, sedangkan dalam agama kita diajar ulama bersama ulil amri bergandingan menerajui kerajaan.
 
Walau apapun naratif yang telah dan akan dirangka, Melayu wajib kembali bersatu di bawah satu kesatuan tanah air jika benar-benar ikhlas mahu melihat Melayu kembali disegani dan suaranya sebaris dengan bangsa-bangsa lain di pentas dunia.

No comments:

Post a Comment